PAGES

Monday, June 3

Pengorbanan Seorang Guru Usah Dilupa


Bismillahirrahmanirrahim  
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.


Sambutan Hari Guru disambut setiap 16 Mei saban tahun menggambarkan betapa berharganya golongan itu dalam memacu institusi pendidikan negara.
Pengorbanan guru memang tiada bandingan apatah lagi cabaran golongan itu yang kini berdepan generasi V (virtual generation) cukup mencabar dan menuntut kesabaran tinggi. 
Tugas guru hari ini tidak seperti 40 tahun lalu yang mana tahap ‘kehormatan’ dan darjat guru sangat tinggi. Guru ibarat raja, manakala sumber maklumat cukup terhad. 

Namun, hari ini bukan saja imej guru diinjak, ­tercalar dan tercabar, malah komunikasi tanpa sempadan dengan penyebaran maklumat di hujung jari menjadikan guru sebagai golongan sampingan dalam menyalurkan maklumat.

Dengan kata lain, penyampaian maklumat tidak lagi rancak dua hala, sebaliknya semakin sehala kerana pelajar lebih suka berkomunikasi di alam maya.

Bagaimanapun, kerjaya guru tidak pernah terhenti dalam melaksanakan amanah serta kelangsungan hidup mahupun melihat kejayaan pelajarnya. 

Walaupun ada menganggap jurang antara guru dan pelajar semakin jauh, sesiapa pun tidak boleh menafikan jasa dan pengorbanan guru sangat besar, bahkan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. 

Justeru, kerajaan turut menyediakan pelbagai insentif bagi meningkatkan lagi imej golongan guru. 

Namun, di tengah kerancakan usaha pelbagai pihak itu, wujud pula cerita tidak enak didengar membabitkan guru. Selalu menjadi halwa telinga, bagaimana guru dikasari serta menjadi sasaran pelajar yang tidak berpuas hati. 

Sebagai masyarakat, kita seharusnya merenung kembali sejarah pengorbanan guru yang berjaya menjadikan kita insan hebat. 

Biarpun mungkin ada tindak tanduk guru yang menyebabkan hati kita terguris, wajar untuk kita berfikir sebab guru bertindak sedemikian. Sesungguhnya penulis dan masyarakat percaya, tiada seorang guru pun yang mahu melihat pelajarnya kecundang. 

Justeru tindakan guru itu adalah reaksi betapa mereka sebenarnya menyayangi pelajarnya dan mahu melihat semua berjaya dalam hidup. 

Mereka mengajar kita bagaimana menjadi manusia berjaya dan berjasa untuk agama, bangsa dan negara. 

Penulis pensyarah di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI), Tanjung Malim, Perak. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...