PAGES

Friday, October 14

Melayu Johor




Bismillahirrahmanirrahim 
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.



saterawan negara



Minggu ni sahaja, ramai rakan-rakan yang berasal dari johor berkongsi maklumat mengenai sajak hasil nukilan sasterawan negara. sajak yang bertajuk 'Melayu Johor' ini ternyata melambangkan bagaimana sifat orang-orang johor. betapa hebatnya beliau, sehingga boleh menterjemahkan sikap yang mana kita sendiri pun tidak pasti akan kewujudannya didalam diri kita sendiri. siapa sasterawan tersebut? beliau adalah...

Dato' Usman Awang (12 Julai 1929 - 29 November 2001) adalah seorang Sasterawan Negara Malaysia1983. Terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant, beliau adalah seorang penyair dan ahli drama yang prolifik ketika hayatnya. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan mungkin lain-lain. Dalam tahun 1991, beliau telah di anugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’. yang dikurniakan gelaran tersebut pada tahun

Pada tanggal 29 November 2001, pada bulan Ramadhan, beliau meninggal dunia setelah lama menghidap penyakit jantung. Beliau ketika itu berusia 72 tahun.



Dato' Usman Awang

SAJAK MELAYU JOHOR

Melayu Johor
telah terlalu banyak kita kehilangan
sawah ladang bertukar tangan
pekan dan bandar kita menumpang
Teluk Belanga entah ke mana
yang tinggal hanyalah pakaian
sedarah sedaging hampir hilang
yang ada hanyalah setulang
Selat Tebrau kian sempit
hati rindu jauh tergamit.

Di Johor,
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar itu Melayu
Minangkabau memang Melayu
Aceh dan Siak adalah Melayu
Jakun dan Sakai lebih Melayu
Arab dan Turki pekat Melayu
Mamak dan Malbari jadi Melayu
malah Muallaf bertakrif Melayu.

Melayu itu maknanya bijaksana
“jika menipu pun bersopan”
kurang ajarnya tetap bersantun
dajalnya cukup selamba
budi bahasa jangan dikira
beraninya cukup benar
tunduk bila bersalah
“lembutnya cukup jantan”
setia sampai ke kubur
biar mati adat jangan mati sahabat.

Anak Johor,
luka di Tanjung Putri
parutnya di Parit Raja
muka biar berseri
mulut biar berbahasa.

Berkelahilah cara Melayu
menikam dengan pantun
menyanggah dalam senyum
marahnya dalam tertawa
merendah bukan menyembah
meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
jiwa Melayu mengangkat persahabatan
kasih sayang kekeluargaan
ringan tulang saling bertolongan
jujur memaafkan, ikhlas memberikan.

Berdamailah cara Melayu
silaturahim yang murni
di mulut sama di hati
maaf senantiasa bersahut
tangan dihulur bersambut
luka pun tidak lagi berparut.

Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,
dalam kekeruhan ini carilah perdamaian
sifat terpuji setiap insan.

Bermuafakat supaya berkat
bersaudara dunia akhirat
berikhtiar dengan tabah
kepada Allah berserah.

USMAN AWANG
1988


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...